Pityriasis alba ataupun tompok putih merupakan sejenis penyakit kulit yang biasa terdapat di kalangan budak-budak dan remaja. Puncanya tidak diketahui sehingga sekarang namun ia berkait rapat dengan kondisi kulit kering dan dermatitis jenis alahan.
Pityriasis bermaksud penyakit kulit yang berkaitan dengan pengelupasan sisik-sisik dan serpihan halus, manakala alba bermaksud putih dalam Bahsa Latin. Justeru itu, Pityriasis alba boleh digambarkan sebagai tompok-tompok putih/warna pudar dengan sisik-sisik halus. Bahagian badan yang selalunya terlibat adalah pipi, leher, bahu dan lengan.; manakala bahagian badan lain adalah jarang. Tompok-tompok mungkin mempunyai bentuk dan sempadan bulat/bujur ataupun bentuk tak sekata. Rasa gatal di tompok tersebut adalah minima atau tiada.
Tompok-tompok putih selalunya akan hilang dengan masa, walaupun tanpa rawatan. Namun begitu, untuk ibu bapa yang rasa risau, rawatan menggunakan krim pelembap, krim steroid atau krim yang mengandungi immunomodulator seperti tacrolimus boleh diamalkan untuk mempercepatkan proses pemulihan warna kulit dan untuk mengurangkan rasa gatal.
Berikut merupakan beberapa tips untuk sesiapa yang menjangkiti pityriasis alba.
Yang pertamanya, elakkan/kurangkan pendedahan kepada cahaya matahari; dan sentiasa memakai krim pelindung matahari (sunscreen). Yang Keduanya, amalkan penjagaan kulit dan kebersihan yang bagus. Dan akhirnya, elakkan daripada pembersihan muka yang melampau, kerana ia akan menyebabkan kekeringan kulit. Bila kita mengamalkan praktis-praktis di atas, kebarangkalian untuk terkena pityriasis alba tidak akan hilang terus, tetapi kita boleh mengelakkan ia daripada berulang banyak kali. Walaubagaimanapun, ingatlah untuk mendapatkan nasihat daripada doktor anda sekiranya anda rasa musykil.