Adakah anda mempunyai mesin pemeriksaan tekanan darah di rumah tetapi anda tidak mahir menggunakannya? Adakah bacaan tekanan darah berbeza banyak bila diukur hari ke hari?
Kami mendapati bahawa ramai orang yang mempunyai mesin pemeriksaan tekanan darah di rumah tetapi jarang digunakan. Bila ditanya, kebanyakkan masih rasa ragu-ragu atau keliru dengan cara penggunaan mesin tersebut. Justeru itu, hari ini kami akan menunjukkan cara yang betul untuk mendapatkan bacaan tekanan darah di rumah.
Langkah 1 Bertenang
Ingatlah perkara pertama yang harus anda lakukan adalah mencari satu tempat yang senyap dan jauh daripada bunyi bising seperti bunyi TV atau kanak-kanak. Persekitaran yang senyap dapat menenangkan minda anda dan menstabilkan tekanan darah. Sekiranya bacaan tekanan darah diambil semasa anda rasa gelisah atau rimas, ia tidak akan melambangkan tekanan darah anda yang sebenarnya, dan sebaliknya, ia akan selalu menunjukkan bacaan yang lagi tinggi. Seterusnya, duduk dan rehat untuk lima minit dulu sebelum mengambil bacaan. Anda boleh mengambil nafas dalam beberapa kali dulu sebelum mula mengambil bacaan.
Langkah 2 Duduk Tegak
Postur atau posisi tubuh yang betul adalah kunci kepada bacaan tekanan darah yang tepat. Berikut dalah tipsnya. Pertama, duduk tegak dan sandarkan belakang anda pada kerusi,; ini akan mengurangkan beban yang tidak diingini masa pengambilan tekanan darah. Keduanya, letakkan lengan anda di atas meja dan pastikan ia berada di paras jantung anda. Letakkan tapak kaki anda rata di lantai dan jangan silangkan kaki anda. Yang ketiganya, alihkan bahagian baju yang menghalang bahagian lengan, kerana ia boleh menggangu pengambilan bacaan tekanan darah. Lapisan pakaian yang tebal boleh menyebabkan bacaan yang lebih tinggi dari sebenarnya.
Langkah 3 Ikatkan Cuff
Ingat, anda perlu ikatkan cuff anda dengan betul supaya tidak terlalu ketat (menyebabkan bacaan tekanan darah tinggi) ataupun longgar (tidak dapat mengesan tekanan darah dengan tepat). Ikatkan cuff di sekeliling baahagian atas lengan (tangan kiri atau kanan). Pastikan antara cuff dengan lengan boleh dimasukkan satu jari. Selain itu, pastikan sisi bawah cuff berjarak sekitar 1 inci (lebih kurang kelebaran 2 jari) dari siku dalam.
Langkah 4 Catat Bacaan Anda
Anda boleh mulakan pengambilan tekanan darah. Sekiranya anda menggunakan mesin tekanan darah digital, anda hanya perlu tekan butang “Start” dan mesin akan mengambil tekanan darah anda secara automatik. Catat bacaan tekanan darah anda dan tunggu 1-2 minit sebelum mengambil tekanan darah kali kedua. Ambil purata 2 bacaan dan mencatatnya dalam rekod bacaan tekanan darah anda untuk rujukan doktor anda.
Tekanan darah akan turun naik sepanjang hari dan dipengaruhi oleh pelbagai faktor. Oleh itu, anda dinasihatkan supaya jangan minum minuman mengadungi alkohol atau kafein serta merokok 30 minit sebelum mengambil tekanan darah. Selain itu, ingatlah jangan bercakap masa mengambil tekanan darah. Anda juga digalakkan mengambil tekanan darah 2 kali sehari, iaitu pada masa pagi (selepas anda buang air kecil, dan sebelum anda makan ubat tekanan darah tinggi) dan pada masa malam (sebelum anda tidur). Ingatlah, sekiranya anda mendapati tekanan darah anda terlalu tinggi ataupun rendah, sila rujuk kepada doktor anda segera!