Jangkitan Cacing Parasit

Hai, mama semua, adakah anda pernah perasan anak anda sentiasa tidak bertenaga, penat lelah, sentiasa mengadu sakit perut dan selera makan semakin berkurangan? Jika ada, anak anda mungkin dijangkiti oleh cacing parasit. Jangkitan cacing parasit adalah sejenis infeksi yang disebabkan oleh satu jenis atau lebih daripada 1 satu jenis parasit usus, dan ini boleh berlaku dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak. Apabila seseorang dijiangkiti oleh cacing parasit (dikenali sebagai perumah), cacing parasit akan mendiami usus dan bersaing dengan perumah untuk mendapatkan nutrisi. Ini akan menjejaskan status nutrisi perumah, melambatkan proses kognitif, menyumbat saluran usus dan membawa kematian jika tidak dirawat dengan secepatnya. Jangkitan cacing parasit ini adalah satu masalah kesihatan global dan paling banyak dijumpai di negara yang miskin. Oleh itu, adalah penting untuk kami mengetahui cara-cara mengelakkan jangkitan cacing ini dan bagaimana merawatnya.

Jenis Cacing Parasit di Malaysia

Bagaimana Cacing Parasit Menjangkit Perumah ?

Perumah boleh dijangkiti oleh cacing parasit melalui pelbagai kaedah. Apabila perumah makan sayur-sayuran dan buah-buahan atau minum air yang tercemar dengan telur cacing parasit, cacing parasit boleh memasuki badan melalui esofagus (saluran makanan) dan duduk di dalam usus perumah. Selain itu, kanak-kanak yang tidak mencuci tangan selepas bermain di tanah yang tercemar dengan telur cacing parasit juga ada risiko tinggi untuk dijangkiti cacing parasit. Ini adalah kerana, telur cacing parasit boleh bersembunyi di dalam kuku dan memasuki badan perumah apabila mereka makan dengan tangan yang tercemar. Tambahan lagi, larva cacing cangkuk (sejenis cacing parasit) mampu menembusi kulit perumah dan menjangkiti mereka. Jadi, sesiapa yang suka jalan kaki ayam juga berisiko tinggi untuk dijangkiti cacing parasit.

Cacing parasit yang berjaya memasuki badan perumah akan menetap di dalam saluran usus perumah untuk mendapatkan nutrisi dan seterusnya memijahkan beribu-ribuan telur cacing. Telur cacing parasit ini akan dikeluarkan sekali dengan najis perumah. Sesiapa yang tersentuh najis ini akan dijangkiti juga.

Gejala-gejala Jangkitan Cacing Parasit

Gejala-gejala Jangkitan Cacing Parasit

Pada mulanya, perumah mungkin tidak akan mengalami apa-apa gejala. Namun, apabila jangkitan ini jadi teruk, perumah akan mengalami masalah cirit-birit, sakit perut, malnutrisi dan kelemahan badan. Dalam kalangan kanak-kanak, mereka yang telah dijangjiti akan mengalami kelambatan pertumbuhan fizikal. Selain itu, mereka yang dijangkiti oleh cacing cangkuk akan mengalami anemia, disebabkan pendarahan dalaman di dalam usus.

Rawatan Cacing Parasit

Berdasarkan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kanak-kanak berumur 1-14 tahun perlu makan ubat anti-parasit 1 hingga 2 kali setahun (untuk kawasan dengan jangkitan 20-50% perlu makan ubat anti-parasit 1 kali setahun; untuk kawasan dengan jangkitan>50% perlu makan ubat anti-parasit 2 kali setahun) bagi mengurangkan risiko dijangkiti cacing parasit. Jenis ubat anti-parasit dan dos yang disyorkan adalah seperti jadual di atas.

Bagaimana Mengelakkan Jangkitan Cacing Parasit ?

Walaupun jangkitan cacing parasit sangat menakutkan, ada juga cara untuk mengelakkannya. Pertama, bersihkan buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum makan. Kedua, gunakan tandas yang sempurna untuk pembuangan najis. Ketiga, sentiasa cuci tangan, terutamanya sebelum makan dan selepas menggunakkan tandas. Keempat, sentiasa potong kuku supaya kotoran tidak berkumpul di dalam kuku. Akhirnya, sentiasa memakai kasut sekiranya berada di luar kawasan rumah. Dengan amalan kebersihan diri yang bailk, kami dapat mengelakkan diri daripada dijangkiti oleh cacing parasit!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *